Sebagaimana maklum, Firaun dengan segala kesombongan dan
kebongkakannya telah mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata
menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Barangsiapa yang ingkar akan
disiksa dan dibunuh. Begitulah kejamnya Firaun dan kerajaannya. Namun begitu
terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada Allah di antaranya
Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah. Masyitah adalah pelayan raja dan
lebih terkenal sebagai tukang sikat Firaun.
Mereka terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah,
dengan itu mereka tidak akan diganggu.Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah
sedang menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat
itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut
"Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan
"Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah"Allah"
itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu tetapi setelah
didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa Allah itu adalah Tuhan yang
Esa dan Tuhan sekalian Alam.
Puteri itu dengan serta-merta mengadu pada Firaun akan
hal Masyitah itu. Firaun agak terperanjat bila mendengar Masyitah menyembah
Tuhan selain daripadanya. Maka Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah
memerintahkan menterinya yang bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan kaum
keluarganya yang telah menyembah Allah. Firaun sedikit pun tidak mengenang
jasa Masyitah terhadap keluarganya. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga
mengasuh dan menguruskan istana Firaun. Tetapi tanpa usul periksa dan kejam
Firaun menjatuhkan hukuman kepada Masyitah.
Inilah masanya untuk menguji Masyitah, seorang wanita
yang lemah fizikalnya tetapi memiliki kekuatan jiwa yang luar biasa. Beliau
dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia yang
tidak berhati perut itu. Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya untuk
menyediakan sebuah kawah yang besar untuk mencampakkan Masyitah dan keluarganya
yang ingkar dengan Firaun seandainya mereka tidak mahu kembali kepada Firaun.
Masyitah bersama dengan suami dan empat orang anaknya termasuk seorang anaknya
yang masih bayi dihadapkan ke hadapan Firaun untuk diberi dua pilihan sama ada
hendak menyembah Firaun atau dicampakkan ke dalam kawah yang berisi air panas
yang mendidih. Maka dengan tegas Masyitah dan suaminya tetap mempertahankan
keimanan mereka dengan mengatakan Allah itulah Tuhan yang Esa dan Firaun
hanyalah manusia biasa.
Dengan keputusan itu, Hamman dengan tiada rasa peri
kemanusiaan mencampak satu persatu keluarga Masyitah ke dalam kawah yang berisi
air panas yang mendidih. Sambih ketawa terbahak-bahak dengan nada yang
menyindir, Hamman mencampakkan suami Masyitah dahulu diikuti dengan anak-anaknya
yang lain.Masyitah melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana anak-anaknya
terkapai-kapai di dalam air yang panas menggelegak itu. Kini tinggal Masyitah
dan bayinya yang akan dicampakkan ke dalam kawah tersebut.Syaitan membisikkan
ke telinga Masyitah rasa was-was dan kasihan melihat anaknya yang masih kecil
itu disiksa sedemikian rupa. Masyitah mula ragu-ragu samada hendak terjun
ataupun tidak. Tetapi dengan kekuasaanAllah, tiba-tiba anak yang masih bayi itu
berkata-kata kepada ibunya,Masyitah : "Wahai ibu, marilah kita menyusul
ayah, sesungguhnya syurga sedang menanti kita".Bila mendengarkan kata-kata
yang sangat ajaib dari anaknya yang masih bayi itu, dengan rasa kehambaan dan
cinta kepada Allah, Masyitah terjun bersama anaknya ke dalam kawah yang berisi
air panas itu dan matilah mereka sekeluarga demi mempertahankan iman mereka
kepada Allah.Tetapi Allah tidak membiarkan manusia berbuat durjana sesuka
hati.
Allah datangkan kepada Firaun, Hamman dan para
pengawalnya yang membunuh Masyitah dengan azab siksa yang sangat pedih. Allah
runtuhkan kerajaan Firaun dan Hamman mati di dalam runtuhan tersebut. Tentera
dan para pengawalnya ditenggelamkan di dalam dasar laut. Mereka mati di dalam
keadaan kafir. Sebaliknya Masyitah sekeluarga mati di dalam keadaan yang mulia
dan bahagia di dalam syurga. Sewaktu Rasulullah s.a.w Isra' dan Mikraj, baginda
telah melalui sebuah makam. Makam itu sangat wangi dengan bauan kasturi. Lantas
Rasulullah s.a.w bertanya kepada Jibril yang mengiringinya, maka jawab Jibril
a.s : "Itulah Makam Masyitah, salah seorang wanita penghulu syurga."
Begitulah keistimewaan yang Allah berikan kepada Masyitah.
Walaupun tubuhnya dan tubuh keluarganya hancur, namun di
sisi Allah mereka sangat mulia. Wahai wanita yang mukmin, bersabarlah
menghadapi hidup di dunia ini. Kesusahan dan kekurangan, kata nista manusia dan
kejian di dalam membangunkan Islam itu hanyalah sementara. Bersabarlah dan
tenangkan hati dengan banyak mengadu dan mengharapkan keredhaan Allah. Kuatkan
iman dan sematkan di dalam hati kecintaan kepada Allah dan Rasul itu melebihi
dari segalanya. Patuh dan taat akan perintah suami, didik anak-anak dengan
Islam. Insya Allah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Marilah sama-sama
mencontohi Masyitah yang sanggup mengorbankan nyawanya dan nyawa keluarganya
demi mendapatkan cinta kepada Allah. Tidakkah kita ingin mengikut jejaknya ?
By : Rubiatul Adawiyah
4 comments:
sabar is the key.. :) and usaha + doa :)
In Sha Allah. :)
Semoga kita juga sanggup berkorban jiwa & raga demi mempertahankan agama Islam seperti Masyitah & Keluarganya.
Ya Allah, tetapkalah iman kami di dalam agamaMu. amin. :)
++Madam Nor Hafizah++ >> aminnn.. Eh.. nama sis macam nama lecturer saya laa... terkejut jugak.. ingatkan lect saya yang komen ^^
Post a Comment